MyKad baharu tidak jejas penerima bantuan kerajaan – JPN

14 May, 2026

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa pelaksanaan MyKad berstruktur baharu yang dijadualkan bermula bulan depan tidak akan menjejaskan proses penebusan bantuan kerajaan.

Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tular, kononnya pengenalan MyKad baharu berisiko mengganggu atau menghentikan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Menurut JPN, senarai penerima bantuan sedia ada dalam sistem akan kekal terpelihara dan tidak akan tercicir sepanjang proses peralihan tersebut.

“Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan berlakunya gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelaksanaan MyKad struktur baharu pada Jun ini.

“JPN turut menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian serta agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data terus kekal utuh dan proses penyaluran berjalan lancar,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah JPN, proses migrasi maklumat akan dilakukan secara automatik melalui sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan terus disalurkan kepada penerima yang layak tanpa gangguan.

Dalam pada itu, penambahbaikan ciri keselamatan pada MyKad baharu dijangka mampu memperkukuh proses pengesahan identiti penerima bantuan.

JPN turut menegaskan bahawa MyKad struktur baharu ini masih menyokong sepenuhnya ekosistem sedia ada yang digunakan dalam penyaluran subsidi dan bantuan kerajaan.

“Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan rakyat menerima bantuan yang disediakan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan akan dihentikan sekiranya kad tidak ditukar segera.

“Proses penukaran MyKad baharu akan dilaksanakan secara berperingkat, dan maklumat terperinci mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya. - CHX

You May Also Like...