KUALA LUMPUR: Bekas pembantu pejabat kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, didakwa di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas dua pertuduhan, termasuk memperdayakan Ahli Parlimen berkenaan berhubung sumbangan papan pintar interaktif serta menerima suapan rasuah berjumlah RM500,000.
Tertuduh, Edmund Teoh Kheng Yaik, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Husin.
Mengikut pertuduhan pertama, Teoh didakwa telah memperdayakan Teresa Kok di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seputeh, Sri Desa Entrepreneurs Park, Jalan Kuchai Lama di sini, dalam kejadian sekitar bulan Jun 2024.
Tertuduh didakwa sengaja mendorong Teresa Kok untuk mempercayai bahawa hanya dua buah sekolah di kawasan Parlimen Seputeh yang memohon sumbangan Interactive Smart Board, sedangkan beliau mengetahui perkara sebenar bahawa terdapat 16 buah sekolah yang memohon sumbangan berkenaan.
Perbuatan tersebut telah mendorong Ahli Parlimen Seputeh itu untuk bersetuju supaya tertuduh membuat permohonan bagi sumbangan tersebut melalui sistem My-Khas di bawah Projek Mesra Rakyat Parlimen Seputeh, yang mana beliau tidak akan memberikan persetujuan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa secara rasuah menerima bagi diri beliau suapan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada seorang individu bernama Ainuddin Bin Aminuddin di kawasan tempat letak kereta Shell Jalan Kuchai Maju, Kuchai Lama pada 12 Ogos 2024.
Suapan tersebut adalah sebagai upah kepada tertuduh, atas kapasitinya sebagai Pembantu Pejabat Ahli Parlimen Seputeh, kerana membantu individu berkenaan mendapatkan sumbangan bagi pembekalan Interactive Smart Board dan peralatan berkaitan untuk 16 buah sekolah di dalam kawasan Parlimen Seputeh oleh syarikat TMT IT Solutions yang dimiliki oleh isteri individu berkenaan.
Pertuduhan bagi kes rasuah itu dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta beberapa syarat tambahan yang ketat.
Antara syarat yang ditetapkan mahkamah termasuklah mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai, melapor diri di pejabat SPRM pada setiap minggu pertama setiap bulan, serta dilarang sama sekali mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 3 Julai 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen. - CHX


















































































































































































































































