Hala tuju kerjasama PAS dengan BERSATU ditentukan Isnin depan – Annuar Musa

2 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Hasil perbincangan mengenai kerjasama antara PAS dan BERSATU akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata mesyuarat tersebut akan memperincikan tindakan lanjut berdasarkan hasil perbincangan Majlis Syura Ulama PAS yang diadakan hari ini.

“Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS masih berjalan dengan fokus kepada penyatuan ummah dan kepentingan perpaduan. Perbincangan turut menekankan keprihatinan terhadap perpecahan politik nasional yang merugikan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat di ibu pejabat PAS.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; serta Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Hubungan PAS–BERSATU kembali tegang

Hubungan antara PAS dan BERSATU kembali tegang selepas Abdul Hadi dilaporkan menyatakan bahawa PAS akan menilai semula kerjasama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketegangan ini timbul susulan beberapa tindakan BERSATU yang dianggap tidak selari dengan semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Minggu lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat menerima laporan mengenai gerakan akar umbi BERSATU yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Biro Politik BERSATU kemudian mengingatkan PAS supaya menghormati urusan dalaman parti komponen PN, khususnya berkaitan disiplin dan usaha menstabilkan parti.

Agenda PRN Johor tidak dibincang

Annuar Musa turut menjelaskan bahawa mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS hari ini tidak membincangkan agenda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan semalam.

Perbincangan mengenai PRN Johor akan dibuat melalui platform Dewan Harian PAS Pusat bersama Dewan Harian PAS Johor minggu hadapan.

Komitmen penyatuan Ummah

Namun, mesyuarat turut menegur tindakan BERSATU yang didakwa menyekat kemasukan parti lain ke dalam PN.

Difahamkan, antara ketetapan utama mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS ialah komitmen untuk terus mendukung agenda penyatuan ummah dengan mengekalkan kedudukan PAS dalam PN.

Tindakan itu dianggap tidak inklusif dan lebih menjurus kepada kepentingan kelompok tertentu, sekali gus tidak selari dengan semangat perpaduan yang diperjuangkan. - CHX

You May Also Like...