PRN Negeri Sembilan: BN bertanding solo selepas PH rancang kuasai 36 kerusi

9 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang, susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu diambil memandangkan parti itu tidak mempunyai pilihan lain selepas pengumuman bersilang daripada rakan sekutunya dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ya, di Negeri Sembilan pasti (BN) bergerak solo kerana PH telah mengumumkan mereka (akan) bertanding di semua 36 kerusi DUN. Ertinya, kita tidak ada pilihan melainkan kita terpaksa bertanding secara solo," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.

Rantaian Politik Johor-Negeri Sembilan

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan bahawa PH akan bertanding di seluruh 36 kerusi DUN Negeri Sembilan sebagai respons timbal balas terhadap tindakan BN Johor.

Pada PRN Johor awal bulan ini, BN mengambil pendekatan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN negeri berkenaan.

Untuk rekod, DUN Negeri Sembilan telah dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 4 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri selepas Johor.

Kerjasama Kerajaan Perpaduan Masih Utuh
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa dinamika PRN di peringkat negeri tidak akan menjejaskan kestabilan Putrajaya.

Beliau memberi jaminan bahawa BN akan terus memberikan komitmen penuh kepada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.

"Kita masih bekerjasama dengan rapat sebagai pasukan."

"Saya rasa kita harus teruskan (kerjasama) sekurang-kurangnya sehingga penghujung penggal," jelasnya lagi.

Muafakat Nasional (MN) Sudah Muktamad Ditutup
Ketika ditanya mengenai desas-desus kemungkinan menghidupkan semula piagam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas, Ahmad Zahid menolak perkara tersebut secara total dan menyifatkan lembaran itu telah berakhir.

"MN telah didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) oleh seseorang.

“Jadi, kita tidak langsung mempunyai niat dan tidak berhasrat untuk menghidupkan semula MN sama ada (MN) 1.0 ataupun 2.0.

"Itu telah muktamad dan kita telah tutup buku," katanya.

You May Also Like...