AMPANG: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan usaha memperkukuh pentadbiran dan pengurusan parti di Parlimen Pandan akan dipertingkat menerusi pemantauan bersama antara pimpinan cabang, kerajaan negeri serta Pejabat Perdana Menteri.
Beliau berkata, susulan perkembangan semasa dalam parti, pengurusan dan pentadbiran di peringkat cabang akan disusun semula sementara waktu bagi memastikan kelancaran gerak kerja KEADILAN.
“Parlimen Pandan akan terus diberikan perhatian oleh Perdana Menteri dan kerajaan pusat supaya agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri. Bukan kerana kita tidak percaya, tetapi tanggungjawab ini besar dan memerlukan pemantauan rapi bersama agensi serta jabatan berkaitan,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Setia KEADILAN P100 Pandan di Hotel Grand Barakah di sini, malam tadi.
Beliau menambah, MPN Selangor akan menyelaras pemantauan bagi memberi ruang kepada cabang meneruskan tugas dengan lebih tersusun.
“Kita mahu dalam tempoh satu hingga tiga bulan, semua berjalan dengan baik dan gerak kerja besar ini dapat diteruskan secara efektif,” katanya.
Menurut Amirudin, perkara berkaitan pembangunan dan pentadbiran kawasan turut dibawa ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk melibatkan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), jabatan kerajaan serta agensi berkaitan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, akan membantu memantau serta menyelaras beberapa aspek berkaitan pembangunan dan pentadbiran kawasan tersebut.
Sementara itu, Amirudin mengingatkan anggota parti supaya terus mempertahankan semangat perjuangan KEADILAN walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk serangan dalaman dan luaran.
“KEADILAN dibina atas semangat reformasi dan perjuangan panjang hingga mampu bertahan dalam pelbagai ujian politik.
“Ada sabotaj dalaman dan serangan luar, namun semangat perjuangan serta kefahaman terhadap idealisme parti menjadikan kita terus bertahan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang telah meninggalkan parti, sambil menyatakan keyakinan bahawa masih ramai akan terus bersama memperjuangkan agenda KEADILAN.
“KEADILAN memikul amanah besar dalam kerajaan dan akan terus bergerak sebagai wadah perjuangan rakyat,” katanya.
Terdahulu, lebih 500 anggota KEADILAN Cabang Ampang dan Pandan menghadiri himpunan tersebut yang diakhiri dengan lafaz ikrar setia parti. - CHX


















































































































































































































































