TOKYO: Sektor peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, dan pelaburan lestari bakal menjadi agenda utama dalam lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun.
Lawatan strategik ini dijangka menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Kerjasama (MoC) dan dua Surat Hasrat (LoI) yang merangkumi bidang pertahanan, kesihatan, pendidikan tinggi, serta pemanduan agenda teknologi hijau dan kelestarian serantau.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany, lawatan atas undangan kerajaan Jepun ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang sedia terjalin ke tahap yang lebih progresif, khususnya dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan ekonomi kitaran.
"Program rasmi Perdana Menteri di Jepun akan dimulai dengan Majlis Sambutan Rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun, disusuli Mesyuarat Dua Hala antara delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri bersama rakan sejawatnya, Sanae Takaichi," katanya dalam satu sidang media di pejabat Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan sidang media bersama bagi mengumumkan perincian MoC dan LoI yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi hijau antara kedua-dua negara.
Agenda Kelestarian Di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31
Selain mesyuarat dua hala, Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31 pada 10 Jun, yang membawa tema "Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia".
Platform dialog peringkat tertinggi ini akan menghimpunkan pemimpin kerajaan, tokoh korporat, dan pakar global untuk membincangkan dinamik geopolitik serta hala tuju pembangunan ekonomi lestari di rantau Asia.
Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan ke University of Tokyo untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk "Humanity in a Human-Machine Civilisation". Ucapan tersebut akan menekankan kepentingan mengimbangi nilai kemanusiaan dan impak alam sekitar dalam era kepesatan Kecerdasan Buatan (AI) serta pembangunan ekonomi negara.
Menarik Pelaburan Hijau & Teknologi Tinggi
Dalam usaha mengukuhkan diplomasi ekonomi, Perdana Menteri akan menyertai Sesi Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan ketua industri terkemuka Jepun, selain mengadakan pertemuan khusus dengan enam syarikat gergasi negara matahari terbit itu.
Sesi ini akan mengetengahkan kelebihan Malaysia sebagai hab pelaburan hijau yang ideal di Asia Tenggara.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Sirkular di Universiti Tokyo, Profesor Amy Poh Ai Ling menjelaskan bahawa lawatan ini membuktikan Malaysia kini dilihat sebagai rakan eko-strategik yang penting di rantau ASEAN.
"Ia meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi hijau, ekonomi sirkular, semikonduktor, pembuatan lanjutan (advanced manufacturing), dan kelestarian.
“Pada masa sama, ia membuka ruang kolaborasi penyelidikan hijau antara universiti dan industri kedua-dua negara," katanya. - CHX


















































































































































































































































