Pulau Pinang buktikan pembangunan dan konservasi boleh seiring, 15,822 anak penyu dilepaskan sejak 2021

16 May, 2026

BALIK PULAU: Sebanyak 15,822 anak penyu berjaya dilepaskan semula ke laut di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut sejak 2021 hingga April lepas, hasil usaha konservasi berterusan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dalam tempoh sama, sebanyak 273 kali pendaratan ibu penyu direkodkan manakala 24,357 biji telur penyu berjaya dikumpulkan di pusat konservasi yang terletak dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang itu.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan tersebut membuktikan usaha pemuliharaan biodiversiti marin di Pulau Pinang mampu dilaksanakan secara konsisten meskipun berdepan pelbagai cabaran global termasuk isu pencemaran dan pembangunan pesisir pantai.

“Penyu merupakan permata alam yang mempunyai nilai ekologi, pelancongan dan pendidikan amat tinggi kepada Pulau Pinang, khususnya dalam memperkukuh agenda ekopelancongan negeri.

“Kerajaan negeri percaya pembangunan dan konservasi tidak boleh bergerak secara berasingan kerana negeri perlu terus maju, namun pada masa sama keseimbangan alam sekitar mesti dipelihara agar warisan semula jadi seperti penyu tidak pupus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pelepasan anak penyu bersempena dengan Jelajah CM Chow di Pantai Kerachut di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri Datuk Rashidi Zinol dan Pengarah Perikanan Pulau Pinang Azimah Jumatli.

Mengulas lanjut, Chow memaklumkan kawasan pantai di bahagian barat Pulau Pinang seperti Pantai Teluk Bahang, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Kerachut dan Pantai Teluk Kampi telah dikenal pasti sebagai lokasi utama pendaratan penyu jenis Agar dan Lipas.

Menurutnya, kawasan-kawasan tersebut dikategorikan sebagai habitat sensitif yang masih bebas daripada gangguan pencahayaan berlebihan serta pencemaran bunyi yang boleh mengganggu proses pendaratan dan penetasan spesies marin berkenaan.

Menyentuh mengenai data tahunan, Chow memperincikan bahawa tahun 2023 merekodkan pencapaian tertinggi konservasi penyu dengan 79 pendaratan ibu penyu dan 7,130 biji telur dikumpulkan, yang mana 5,168 ekor anak penyu berjaya menetas serta dilepaskan.

“Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 67 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 6,470 biji telur berjaya dikumpulkan dan 4,586 ekor anak penyu dilepaskan ke laut," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata statistik kehadiran ke pusat konservasi tersebut turut menunjukkan trend peningkatan memberangsangkan dengan merekodkan 154,302 pengunjung bagi tempoh 2021 hingga April lepas, merangkumi 109,351 pelawat tempatan dan 44,951 pelawat antarabangsa.

Peningkatan jumlah pelawat itu jelasnya, membuktikan usaha konservasi bukan sahaja kritikal dari sudut pemuliharaan biodiversiti, malah mampu memberi nilai tambah yang signifikan kepada sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi setempat.

You May Also Like...