JOHOR BAHRU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan sepenuhnya tindakan lanjut terhadap bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada pasukan peguam yang dilantik parti.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan mengenai langkah susulan terhadap kedua-dua bekas pemimpin kanan parti itu, yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan ditentukan oleh peguam.
“Mereka sudah meletakkan jawatan dan keluar parti. Jadi, saya serahkan kepada pasukan peguam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Pasar Raya Econsave Cash & Carry, Taman Daya, hari ini.
Pada 17 Mei, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen masing-masing bagi Pandan dan Setiawangsa, sebelum mengesahkan keluar daripada PKR.
Susulan itu, PKR dilaporkan sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka, termasuk:
- Peruntukan Akta Antilompat Parti
- Tuntutan bon bernilai RM10 juta
Kedua-dua mereka kemudiannya mendaftar sebagai ahli biasa Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pada 21 Mei.
Namun, PKR menegaskan bahawa tarikh sebenar ikrar keluar parti oleh Rafizi dan Nik Nazmi adalah pada 17 Mei, bukan tarikh penyertaan mereka dalam parti baharu. - CHX


















































































































































































































































