KUALA LUMPUR: Musyawarah Nasional akan didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan ia berfungsi sebagai wadah yang tersusun, sah, berwibawa dan berterusan dalam memperjuangkan agenda bangsa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, musyawarah tersebut tidak boleh bersifat sementara, sebaliknya perlu menjadi satu gerakan jangka panjang yang mengadakan perbincangan secara konsisten dan berstruktur.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Sekretariat Musyawarah Nasional supaya segera mendaftarkan pertubuhan tersebut di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
“Musyawarah Nasional ini bukan milik mana-mana individu, kelompok atau parti politik. Ia mesti menjadi milik semua pihak yang ikhlas mahu melihat bangsa ini berdiri dengan lebih yakin, lebih bermaruah dan lebih tersusun dalam usaha membangun bangsa di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan Musyawarah Nasional Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya? di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga pengasas Musyawarah Nasional memberi jaminan bahawa segala pembentangan dan cadangan yang dikemukakan sepanjang musyawarah itu akan didokumenkan sebagai rumusan rasmi.
Beliau turut mengarahkan sekretariat mengambil tindakan segera bagi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diterjemahkan kepada pelan pelaksanaan yang lebih jelas dan berkesan.
“Cadangan yang melibatkan kementerian, agensi serta institusi kerajaan hendaklah disusun sebagai syor rasmi untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, satu jawatankuasa tindakan perlu dibentuk bagi memperincikan cadangan yang dikemukakan oleh setiap teras kepada pelan pelaksanaan yang lebih menyeluruh.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata terdapat empat persoalan besar yang menjadi punca keresahan orang Melayu pada masa ini.
Antara keresahan tersebut melibatkan asas Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh isu-isu sensitif seperti kedudukan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, kelangsungan hidup ekonomi Melayu Bumiputera, keadilan sistem, perlindungan serta kestabilan negara.
Katanya, keresahan itu dihuraikan menerusi empat teras utama yang dibentangkan sepanjang musyawarah, iaitu isu sensitiviti, pemilikan ekonomi, pendidikan dan bakat masa depan, serta medan sosial, budaya, bahasa dan perpaduan nasional. - CHX


















































































































































































































































