KUALA LUMPUR: Sinergi berterusan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan contoh terbaik dalam mengangkat martabat institusi negara yang tidak hanya terhad kepada fungsi kekuasaan, malah menjangkau kepada aspek akademik dan teknikal.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini menyasarkan kerjasama strategik seumpama itu diperluas antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi penguatkuasaan bagi memartabatkan profesionalisme menerusi pemerkasaan disiplin ilmu.
Menurut beliau, hubungan antara USM dan PDRM bukanlah satu perkara baharu memandangkan kerjasama tersebut telah pun terjalin sejak tahun 2016 serta terbukti memberikan impak positif kepada kedua-dua belah pihak.
"Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan saya harap ia dapat diteruskan sebagai wadah dalam kita mengangkat institusi-institusi dalam negara. Ia tidak terhad kepada kekuasaan semata-mata, tetapi juga pemerkasaan berdasarkan disiplin ilmu dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USM dan PDRM di Majlis Peluncuran PDRM Special Dialogue (PSD) V 2026 di Kuala Lumpur.
Adam Adli menjelaskan bahawa USM terus menjadi pilihan utama dalam memperkasakan pelbagai sektor kritikal di dalam PDRM, khususnya dalam bidang sains forensik yang banyak dibantu oleh kepakaran universiti berkenaan.
Beliau turut menekankan bahawa sinergi tersebut diharap dapat meningkatkan tahap profesionalisme anggota serta pegawai PDRM melalui input akademik yang berkualiti selain mahu melihat model kerjasama itu 'dirakyatkan' demi manfaat yang lebih luas.
"Sinergi yang telah berlangsung bertahun-tahun ini seharusnya dirakyatkan. Saya juga berterima kasih kepada pihak PDRM atas kepercayaan mereka terhadap institusi pendidikan tinggi kita, khususnya USM," tambah beliau.
Beliau turut menyatakan harapan agar kejayaan kolaborasi itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama rentas agensi pada masa hadapan dengan melibatkan pelbagai IPT lain di seluruh negara demi kepentingan pembangunan modal insan. - CHX


















































































































































































































































