KUALA LUMPUR: Pembabitan aktif semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat menjadi faktor penentu dalam menjayakan hala tuju pendidikan negara bagi tempoh sedekad akan datang menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, komitmen serta sokongan jitu daripada seluruh ekosistem komuniti amat diperlukan, khususnya dalam mendepani pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah dan persekolahan yang dijadualkan bermula tahun depan.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa ini, pelaksanaan kurikulum baharu prasekolah telah pun bermula selain usaha peluasan kelas prasekolah yang kini sedang giat dijalankan di seluruh negara.
"Pada tahun depan pula, kita akan memulakan kurikulum persekolahan baharu membabitkan anak-anak Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
"Semua ini hanya akan berjaya dengan komitmen dan sokongan jitu semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat. Misalnya, sesi membaca yang diperkenalkan untuk anak-anak prasekolah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, baru-baru ini.
Menurut Fadhlina, inisiatif berkenaan menuntut komitmen tinggi daripada ibu bapa untuk meluangkan masa membaca bersama anak-anak di rumah, selain memerlukan kerjasama yang erat bagi menjayakan pelbagai program pendidikan lain.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus bersama warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pembabitan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) bagi kawasan Ayer Molek dan Pengkalan Batu di Melaka.
Mengulas mengenai lawatan tersebut, Fadhlina berkata Melaka perlu menjadikan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas sebagai batu loncatan untuk memperkasakan lagi ekosistem pendidikan di negeri berkenaan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM280,000 bagi tujuan menaik taraf bilik guru yang bakal memberi manfaat kepada 13 buah sekolah di sekitar Melaka.
“Semoga inisiatif naik taraf bilik guru di sekolah-sekolah akan memberi keselesaan kepada guru, sekali gus mendorong mereka untuk memberikan yang terbaik dalam melaksanakan amanah mendidik anak-anak,” katanya. - BERNAMA


















































































































































































































































