Anwar fokus tadbir negara, belum nampak keperluan PRU16 dalam masa terdekat

4 Jun, 2026

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mentadbir negara, dan belum melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat.

Menurut beliau, keutamaan Kerajaan Persekutuan adalah memastikan kestabilan pentadbiran dan pelaksanaan agenda pembangunan negara berjalan lancar.

Kenyataan itu dibuat ketika beliau diminta mengulas kemungkinan pembubaran Parlimen susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.

“Ia adalah keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami mempunyai keutamaan kami.
Kami fokus pada kerja kami,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Pembubaran DUN Johor Laluan kepada PRN

Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Beliau memaklumkan bahawa pembubaran tersebut dilakukan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Langkah itu diambil bagi membuka ruang kepada proses demokrasi melalui PRN, tertakluk kepada penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - CHX

You May Also Like...