Sertai semula UMNO: Noh Omar puji prinsip UMNO Johor tolak DAP

7 Jun, 2026

ISKANDAR PUTERI: Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan keluar daripada parti Bersatu serta-merta bagi kembali menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata keputusan melepaskan semua jawatan dan keahlian Bersatu dibuat selepas tertarik dengan ketegasan UMNO Johor yang konsisten menolak kerjasama politik dengan DAP.

Malah, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan sama akan dipertahankan oleh UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.

“Saya amat menghormati prinsip UMNO dan BN di negeri ini, apatah lagi selepas mendengar ucapan Menteri Besar (Johor) Datuk Onn Hafiz Ghazi. Disebabkan itulah saya bersetuju kembali dengan BN menjelang PRN Johor ini.

“Saya juga yakin insya-Allah dalam PRN ke-16 nanti, UMNO akan mempunyai prinsip yang sama, tidak akan bersama dengan DAP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Tertutup Kompleks EduCity di sini, hari ini.

Saran Kerjasama UMNO-PAS Demi Perpaduan Melayu

Dalam pada itu, Noh turut menyuarakan hasrat melihat UMNO menjalin semula kerjasama dengan PAS demi menyatukan kuasa politik masyarakat Melayu di negara ini.

Menurutnya, gabungan antara kedua-dua parti tersebut mampu membentuk kerajaan yang stabil tanpa memerlukan sokongan daripada blok politik lain.

“Saya yakin kalau UMNO dengan PAS boleh bersama, mereka boleh tubuhkan kerajaan tanpa perlukan bantuan daripada parti-parti lain,” katanya.

Sifatkan Bersatu Gagal Hormati Keputusan Majlis Tertinggi

Mengulas mengenai penamatannya dengan Bersatu, Noh mendedahkan tindakan keluar parti itu berpunca daripada kegagalan pucuk pimpinan parti berkenaan menghormati keputusan bersama yang telah ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

Beliau memberi contoh tindakan disiplin yang tetap dikenakan terhadap ahli-ahli tertentu, meskipun Majlis Tertinggi Bersatu sebelum ini memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan sedemikian.

“Saya lihat prinsip perjuangan Bersatu dan UMNO berbeza, jauh berbeza… Perjuangan saya mesti ada prinsip, dan saya kata dari dahulu bahawa saya tidak bersetuju UMNO dengan DAP.

"Hari ini UMNO Johor telah pun mengisytihar tidak bersama dengan DAP, sebab itu saya kembali bersama dengan UMNO dan juga BN," katanya sambil menambah pengisytiharan terbuka itu secara automatik menamatkan keahliannya dalam Bersatu tanpa perlu menghantar surat rasmi.

Ketika ditanya mengenai status politik anaknya, Nurul Syazwani Noh yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang mewakili Bersatu, beliau enggan mengulas lanjut.

"Nurul sekarang masih lagi ADUN Bersatu, jadi mengenai dia kita tunggulah," katanya ringkas. - CHX

You May Also Like...