KUALA LUMPUR: Menjelang tamatnya tempoh perkhidmatan beliau secara rasmi esok, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberikan bayangan jelas mengenai hala tuju masa depannya.
Walaupun bakal meletakkan jawatan, beliau menegaskan komitmennya untuk tidak berhenti daripada menyumbang bakti kepada negara dan rakyat selagi hayat dikandung badan.
Bagi Azam, persaraan bukanlah titik noktah untuk menjadi individu yang pasif. Beliau menyifatkan bekerja dan memberi sumbangan kepada masyarakat sebagai satu kepuasan peribadi yang tiada galang gantinya.
Mengulas lanjut mengenai prinsip kerjanya, beliau memberikan kiasan mendalam tentang dedikasinya terhadap tanggungjawab.
"Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari dia dikerandakan dalam masjid. Saya akan menyumbang apa yang saya boleh kepada negara dan rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya.
Menyentuh spekulasi mengenai penglibatan dalam bidang lain, Azam secara tegas menolak kemungkinan untuk terjun ke kancah politik mahupun dunia perniagaan.
Beliau menyifatkan politik sebagai bidang yang jauh daripada jiwanya, manakala perniagaan pula bukanlah kepakarannya.
Fokus beliau kekal pada usaha menjadi insan yang berfungsi dan bermanfaat kepada masyarakat, sambil menyifatkan manusia yang tidak memberi sumbangan umpama "mayat hidup".
Walaupun tidak lagi memayungi SPRM, agensi tersebut akan tetap berada dalam radar pemerhatian beliau.
Azam menyatakan kesediaan untuk terus memberikan pandangan membina, teguran, serta perkongsian pengalaman sekiranya diperlukan oleh kakitangan SPRM di masa hadapan.
Beliau mahu melihat agensi tersebut terus berkembang dengan baik melalui bimbingan dan nasihat yang bersifat membangun.
"Politik itu jauh sekali, sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga.
“Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan dunia ini dengan berhemah dan menjadi orang berguna kepada masyarakat,” katanya. - CHX


















































































































































































































































