Kerajaan negeri Melaka umum insentif sewa, diskaun lesen ringankan beban peniaga

7 May, 2026

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan inisiatif bantuan khas merangkumi pengecualian sewa premis dan potongan kadar lesen bagi membantu penjaja serta peniaga kecil mendepani peningkatan kos operasi yang kian mencabar.

EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, inisiatif di bawah Insentif Bajet 2026 dan Insentif Khas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu bertujuan memastikan kelangsungan perniagaan komuniti setempat.

Menurut beliau, penjaja dan peniaga kecil yang menyewa premis di bawah pentadbiran PBT serta anak syarikat kerajaan negeri bakal menikmati pengecualian sewaan selama sebulan bermula Julai depan.

"Kerajaan negeri memahami cabaran peningkatan kos operasi yang sedang dihadapi peniaga ketika ini dan berharap bantuan ini dapat mengurangkan beban mereka secara langsung," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama peniaga di Medan Samudera, Banda Hilir, di sini semalam.

Tambah beliau, sokongan tambahan turut disalurkan melalui Perbadanan Melaka (MCORP) yang menawarkan pengurangan kadar sewaan sebanyak 30 peratus bagi tempoh yang sama.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput menjelaskan bahawa semua PBT di negeri itu turut memperkenalkan diskaun 50 peratus bagi pembaharuan lesen penjaja bagi tempoh Julai hingga Disember 2026.

Beliau memberi jaminan bahawa peniaga yang telah memperbaharui lesen sebelum tempoh tersebut tidak akan tercicir, sebaliknya layak menikmati diskaun yang sama semasa pembaharuan lesen pada tahun hadapan.

Langkah proaktif ini dilihat selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kadar sewa premis milik agensi kerajaan Persekutuan dikurangkan bagi membantu peniaga kecil mengawal kos operasi ekoran kesan krisis bekalan global.

You May Also Like...