KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan keyakinan bahawa barisan calon yang diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berupaya menjadi wakil rakyat yang efektif dan membawa suara masyarakat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berkata calon-calon yang dipilih bukan sahaja berwibawa, malah mampu menterjemahkan gagasan keadilan di negeri Johor.
Menurut beliau, sesi pertemuan bersama calon PKR telah diadakan semalam, termasuk taklimat penting yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan jentera parti.
“Timbalan Presiden menyuntik semangat juang serta kesiapsiagaan tinggi dalam kalangan calon-calon KEADILAN,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Farhan memaklumkan beliau menyaksikan sendiri calon-calon PKR melafazkan ikrar serta menandatangani borang aku janji sebagai komitmen kepada parti dan rakyat.
Beliau menegaskan, dengan mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan parti, setiap calon diyakini mampu memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.
“Saya menaruh keyakinan penuh bahawa setiap calon mampu membawa suara rakyat dan menterjemahkan gagasan keadilan di bumi Johor Darul Takzim,” ujarnya lagi. - CHX


















































































































































































































































