Spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hangat apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memberi gambaran bahawa proses demokrasi itu berkemungkinan diadakan seawal September tahun ini.
Menurut beliau, persediaan ke arah pilihan raya kini berjalan lancar, dengan kerajaan negeri meneliti pelbagai aspek termasuk kesiapsiagaan jentera dan keadaan semasa rakyat.
Walaupun Tarikh rasmi belum dimuktamadkan, bayangan awal ini cukup untuk mencetuskan perhatian pelbagai pihak, termasuk parti politik dan pengundi.
“Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan, dan September adalah antara waktu yang sesuai,” katanya, memberi isyarat bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin tidak lama lagi.
Jika benar PRN diadakan dalam tempoh tersebut, ia akan menjadi medan penting untuk mengukur sokongan rakyat terhadap kepimpinan sedia ada. Pada masa sama, parti-parti politik dijangka mula menyusun strategi dan memperkukuh jentera masing-masing bagi menghadapi persaingan yang dijangka sengit.
Ditanya mengenai kemungkinan bergerak solo atau bersama gabungan lain pada PRN nanti, beliau berkata, perkara itu masih belum diputuskan.
"Itu kita belum fikirkan lagi sama ada solo ataupun bersama. Kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman," katanya.
Pada PRN Ke-15 pada 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dengan DUN Melaka dijangka tamat pada Disember ini.
Bagi rakyat Melaka, pilihan raya ini bukan sekadar soal memilih wakil, tetapi turut menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh akan datang.
Lebih banyak perkembangan dijangka diumumkan dalam masa terdekat, seiring dengan keputusan rasmi mengenai tarikh pembubaran DUN dan penamaan calon. - CHX


















































































































































































































































