Larangan pembelian RON95 diperluas, pemandu kenderaan berpendaftaran asing turut dikenakan tindakan mulai 1 April

1 Apr, 2026

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperluas penguatkuasaan larangan pembelian petrol RON95 kepada pemandu dan pemilik kenderaan berpendaftaran asing, berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peraturan berkenaan yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak kini diperluaskan.

Menurutnya, langkah itu susulan pembentangan di Parlimen pada 29 Januari lalu, selain selaras dengan usaha memperketat kawalan terhadap penggunaan subsidi bahan api.

“Saya mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.

“Peluasan ini adalah pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini kesalahan hanya diletakkan kepada pengusaha stesen minyak.

“Berkuat kuasa 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan yang berpendaftaran asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan yang mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN turut memaklumkan pihaknya mengambil kira peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan bahan api di kawasan sempadan susulan ketegangan konflik Asia Barat.

Justeru, agenda penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu).

“Saya mengingatkan agar semua pihak untuk samada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan motor asing mematuhi larangan ini.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.

“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” maklumnya.

Isu-isu berbangkit terkait dengan konflik Asia Barat turut dibincangkannya pada Sesi Libat Urus bersama Malaysia Retail Association (MRA), khususnya implikasi terhadap keterjaminan bekalan dan kestabilan harga.

“Melalui pengukuhan kerjasama antara Kerajaan dan Industri, bekalan barang-barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan,” maklumnya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk terus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan.

You May Also Like...