Kesediaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berdepan dengan mana-mana calon, termasuk ‘gergasi politik’, mencerminkan komitmen beliau bahawa perjuangan sebenar bukanlah soal siapa lawan, tetapi sejauh mana khidmat dapat diberikan kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa cabaran berdepan dengan calon besar bukanlah halangan utama, sebaliknya yang lebih penting ialah kerja dan khidmat yang diberikan.
“Jika betul beliau bertanding di sini, saya terpaksa berdepan dengan ‘gergasi politik’, kalau betul.
“Apa yang lebih penting ialah kita buat kerja, dimana-mana pun berkhidmat sama ada di Pandan, Ampang atau mana-mana yang ditugaskan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Korban Perdana AMK Pandan dengan kerjasama Dagang Avenue, Kompleks Muhibah dan Genk 2026 di Ampang pada Rabu.
Beliau mengulas kemungkinan bakal bertanding di Parlimen Pandan selepas penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan jawatannya selepas keluar daripada PKR pada 17 Mei lalu.
Menyentuh mengenai perancangan di Parlimen Pandan, Tengku Zafrul berkata beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk memantau dan menyelaras kawasan tersebut memandangkan kerusi itu kini tidak mempunyai wakil rakyat.
“Saya sebelum ini pun banyak bekerjasama dengan pejabat DUN Pandan Indah, pejabat DUN Pantai, banyak membantu di lapangan.
“Sekarang ini kita dalam proses untuk bersama juga bekerjasama dengan rakyat, pemuda, wanita Angkatan Muda Keadilan, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan semua agensi kerajaan.
“Pada masa yang sama, kerajaan persekutuan akan memastikan kerjasama dengan EXCO negeri dan ADUN di sini supaya semua khidmat dapat diteruskan demi rakyat,” katanya.
Beliau menekankan bahawa usaha yang dijalankan bukan sekadar persiapan menghadapi pilihan raya, tetapi lebih kepada memastikan kesinambungan
khidmat kepada masyarakat.
“Yang penting ialah kita turun padang, dengar suara rakyat dan pastikan segala bentuk bantuan sampai kepada mereka. Itu lebih utama daripada memikirkan siapa lawan kita,” ujarnya. - CHX


















































































































































































































































