‘Lepas dapat kuasa, PM rasa semua negeri tumpang dia’ – Sanusi sindir Anwar

10 Jul, 2026

MERSING: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa beliau seolah-olah menganggap semua negeri bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan selepas memegang tampuk pentadbiran negara.

Menurut Sanusi, tanggapan itu tidak tepat kerana Kerajaan Persekutuan diwujudkan hasil persetujuan negeri-negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing menerusi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Selepas mendapat kuasa, dia rasa seolah-olah semua negeri menumpang Kerajaan Persekutuan. Kedah menumpang, Johor menumpang, Perak menumpang, Pahang menumpang dan Terengganu menumpang.

“Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan wujud kerana negeri-negeri menyerahkan sebahagian kuasa mereka. Kerajaan Persekutuan ada kerana adanya negeri,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega N32 Endau di Dataran Mersing Kanan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan pembangunan serta menyalurkan peruntukan mengikut bidang kuasa yang telah dipersetujui, dan bukannya menjadikan perkara tersebut sebagai modal politik.

“Apabila diberi kuasa, itu adalah tanggungjawab. Apa yang dilakukan kerajaan adalah kewajipan, bukannya satu kebaikan, bukan sukarela dan bukan untuk mempengaruhi rakyat supaya memilih parti tertentu.

“Kalau saya menjadi Perdana Menteri sekali pun, saya tetap perlu melakukan perkara yang sama kerana itu merupakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi turut mendakwa Anwar bersama beberapa menteri Kabinet terlalu kerap turun berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga menggambarkan seolah-olah persaingan yang berlaku adalah antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, bukannya antara parti-parti politik yang bertanding.

Beliau berpandangan bahawa pilihan raya seharusnya menyaksikan pertandingan antara parti dengan parti, tanpa menggunakan kelebihan yang diperoleh melalui kedudukan dalam kerajaan.

“Beliau datang dengan pelbagai janji kepada rakyat Johor dan membawa nama Kerajaan Persekutuan. Sebenarnya, pilihan raya adalah pertandingan antara parti politik.

“Saya hadir malam ini atas nama Perikatan Nasional, bukan membawa Kerajaan Negeri Kedah. Kita bertanding parti lawan parti, itu lebih adil dan bersifat profesional,” katanya. - CHX

You May Also Like...

‘Saya tidak beli kereta BMW baharu’ – Anwar

‘Saya tidak beli kereta BMW baharu’ – Anwar

“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW… saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” katanya dalam ucapan pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang di sini.