KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Ahad mengumumkan tiga lagi calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus memperkukuh barisan parti itu menjelang hari pengundian.
Tiga calon tersebut ialah Ketua MUDA Bahagian Kulai, M Premanand, 53, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Selain itu, Ketua Penerangan MUDA Muar, Muhammad Amir Fiqri, 30, dipilih mewakili parti di DUN Maharani, manakala Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafii, 36, akan bertanding di DUN Simpang Jeram.
Pengumuman rasmi calon-calon berkenaan dibuat oleh Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz, dalam program Malam Suara MUDA yang berlangsung di ibu negara.
Sehari sebelum itu, Amira Aisya turut mengumumkan pencalonan Rashifa Aljunied, 26, yang kini merupakan Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa, sebagai calon bagi DUN Puteri Wangsa.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari mengundi bagi PRN Johor, manakala 27 Jun adalah hari penamaan calon dan 7 Julai bagi pengundian awal. - CHX


















































































































































































































































