PUTRAJAYA: Semua agensi Kerajaan Persekutuan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang mengelola premis perniagaan diarahkan untuk menurunkan kadar sewaan berkuatkuasa bulan ini.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang berlangsung pada Selasa yang merupakan sebahagian usaha meringankan kos operasi peniaga kecil.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan negeri turut mengikuti langkah yang sama, seperti komitmen yang dizahirkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
“Kebanyakan kedai-kedai ini dimiliki oleh syarikat-syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA, bulan ini juga mulai sekarang akan mengurangkan kadar sewa di semua premis perniagaan mereka, dan mereka akan umumkan mengikut daerah dalam masa yang terdekat.
“Dan meneladani langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah menurunkan kadar sewaan, saya ingin menyeru semua pihak berkuasa tempatan negeri-negeri untuk menurunkan kadar sewaan mulai bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.
Tegas beliau, tentunya ini bidang kuasa PBT dan Kerajaan Negeri yang lain, dan beliau menggesa agar harga diturunkan dengan kadar segera dan berkuatkuasa pada bulan ini.
“Ini bagi mengurangkan tekanan dan beban yang memang dihadapi oleh peniaga dan penjaja ini,” katanya.


















































































































































































































































