KUALA LUMPUR: Insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenal pasti berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ) di Naqoura semalam tidak membabitkan mana-mana pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kejadian kira-kira 5.30 petang waktu Malaysia itu berlaku berhampiran Malaysia House, iaitu kemudahan rehat bagi lima pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) di bawah UNIFIL HQ di Naqoura.
Beliau berkata lokasi berkenaan terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, penempatan utama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di selatan Lubnan.
Menurutnya, sebelum kejadian, siren amaran telah dibunyikan pada kira-kira 5.19 petang waktu Malaysia dan arahan memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman semasa di kawasan operasi.
“Letupan dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter dari Malaysia House dan menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan itu.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan membabitkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL kerana kesemuanya berada di dalam bunker ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata susulan insiden itu, kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL serta elemen berkaitan.
“Dalam masa sama, penilaian lanjut sedang dilakukan untuk mengenal pasti tahap kerosakan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi di kawasan operasi serta bekerjasama dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya. - CHX


















































































































































































































































