PUTRAJAYA: Pelaksanaan inisiatif bekerja dari rumah (BDR) berjaya menjimatkan subsidi petrol RON95 sebanyak RM4.22 juta, bersamaan 2.14 juta liter setakat 25 Mei lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata penjimatan itu direkodkan sejak pelaksanaan BDR bermula pada 15 April, sekali gus membantu kerajaan menangani beban kewangan susulan krisis bekalan global.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan meluluskannya bermula 15 April lalu.
“Walaupun tekanan subsidi meningkat secara mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan amanat dan merasmikan Majlis Apresiasi Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness (ERAT) di sini, malam tadi.
Pada 30 April lalu, media melaporkan kerajaan menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pelaksanaan BDR yang membabitkan kira-kira 200,000 penjawat awam.
Shamsul Azri berkata bagi memastikan pelaksanaan BDR berkesan serta tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, setiap ketua jabatan perlu berpegang kepada konsep T.E.G.A.S iaitu tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.
Beliau turut mengajak penjawat awam menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A iaitu mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif dalam memberikan perkhidmatan tanpa mengira status masyarakat.
“Jangan bezakan layanan berdasarkan jawatan. Jika orang berpangkat datang, kita melayan dengan baik, tetapi apabila orang biasa seperti tukang cuci berurusan, adakah layanan yang sama diberikan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar, berkata tugas sebagai ketua jabatan bukanlah satu amanah yang mudah kerana memikul tanggungjawab besar. - CHX
“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan,” katanya. - CHX


















































































































































































































































