SEPANG: Seorang aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Razman Mat Ali, disahkan mengalami kecederaan serius iaitu traumatic pneumothorax (paru-paru bocor) selepas dipercayai diserang secara sengaja oleh tentera rejim Israel ketika dalam tahanan.
Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan Razman kini masih berada di Istanbul, Turkiye bagi menerima rawatan lanjut selepas menjalani pembedahan, dan keadaannya dilaporkan stabil serta dijangka dibenarkan pulang ke tanah air dalam tempoh 21 hari.
“Semasa beliau sedang menerima rawatan selepas pembedahan, pasukan guaman CENTHRA telah menghantar dua wakil bagi mendapatkan rakaman serta bukti berkaitan insiden tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya sendiri terkejut melihat kekuatan semangat beliau. Jika disebut mengenai ‘sumud’, beliau antara individu yang benar-benar menggambarkan semangat itu.
“Beliau masih belum dibenarkan menaiki pesawat kerana dikhuatiri tekanan udara dalam kapal terbang boleh memburukkan lagi kecederaan dialaminya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Turkiye turut memberi jaminan untuk memantau keadaan kesihatan Razman, selain wakil Sumud Nusantara yang turut berada di sana bagi menemani beliau.


















































































































































































































































