Bantuan bumiputera diteruskan, nasib semua rakyat miskin turut dibela – PM

23 May, 2026

KUALA LUMPUR: Bantuan kepada golongan Bumiputera akan terus diperkasakan, namun kebajikan semua rakyat miskin tanpa mengira kaum juga tidak boleh diabaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa nasib golongan susah dan memerlukan harus dibela secara menyeluruh sebagai satu keluarga besar Malaysia.

“Saya juga anak Bumiputera dan saya menyokong program membantu Bumiputera.

“Namun, dalam usaha kita memperkasa anak Melayu dan Bumiputera, tidakkah wajar kita turut memikirkan nasib semua anak Malaysia yang susah, miskin dan memerlukan bantuan, agar mereka dibantu bersama sebagai satu keluarga besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Harmoni MADANI sempena Sambutan Hari Wesak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI dibina berasaskan nilai kemanusiaan, moral dan etika, yang berteraskan ajaran agama serta semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk.

Menurutnya, Malaysia memilih pendekatan tersendiri di peringkat global dengan menjadikan nilai, etika dan moral sebagai teras pembangunan negara, walaupun dunia semakin terarah kepada kemajuan teknologi moden. - CHX

You May Also Like...