IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan reman tiga individu yang disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan, membabitkan tuntutan rawatan kesihatan kira-kira RM53,000.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada seorang pengarah syarikat, pegawai eksekutif serta pemilik syarikat. Mereka ditahan antara jam 4.50 petang hingga 9.30 malam, Selasa lalu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Dua daripada suspek yang juga pasangan suami isteri berusia lingkungan 40-an direman selama tujuh hari sehingga 26 Mei ini. Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh pada pagi kelmarin.
Seorang lagi suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an dan juga pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 24 Mei ini.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan antara tahun 2024 hingga 2025.
Mereka disyaki mengemukakan dokumen palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi menuntut bayaran bagi rawatan pemulihan fizikal yang sebenarnya tidak pernah dijalankan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - CHX

















































































































































































































































