Perjuangan KEADILAN tidak terhenti walau ada pimpinan tinggalkan parti – Ketua AMK Pandan

21 May, 2026

AMPANG: Gerak kerja dan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tidak akan terhenti hanya kerana tindakan segelintir pihak meninggalkan parti tersebut.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Pandan, Mohd Ifwat Amir Hamirudin, menegaskan perkara itu menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya bagi mengulas situasi politik semasa.

Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum kemungkinan terdapat beberapa pimpinan AMK Cabang yang akan membuat keputusan untuk meninggalkan parti dalam masa terdekat.

“Setiap keputusan individu adalah tanggungjawab masing-masing. Namun, perjuangan Reformasi tidak akan terhenti kerana tindakan mana-mana pihak,” katanya.

Tambah beliau, perubahan dalam organisasi merupakan perkara biasa dalam mana-mana parti politik dan tidak menjejaskan kekuatan asas parti yang dibina atas komitmen ahli serta sokongan rakyat.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menegaskan bahawa gerak kerja parti akan terus berjalan seperti biasa dengan fokus utama untuk memperkukuh organisasi serta menyantuni rakyat.

Dalam masa sama, AMK Pandan kekal komited untuk mempertahankan Parlimen Pandan dan memperkukuh parti, selaras dengan saranan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - CHX

You May Also Like...