JEDDAH: Pengurusan ibadah haji perlu sentiasa diperkasakan menerusi pendekatan ijtihad kontemporari seiring dengan perubahan semasa, termasuk dalam aspek kesihatan, teknologi serta keselamatan jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menyatakan bahawa pengalaman mendepani pandemik COVID-19 sebelum ini jelas membuktikan kepentingan ijtihad dalam memastikan setiap keputusan hukum dan fatwa dapat diputuskan dengan pantas serta tepat mengikut realiti semasa.
“Sudah pasti musim haji memerlukan ijtihad kontemporari dengan pendekatan yang tepat. Sebagai contoh ketika COVID-19, banyak fatwa dan hukum baharu perlu diputuskan menerusi kajian yang pantas dan tepat.
“Ia memerlukan kemampuan untuk kita berinteraksi dengan perubahan dan realiti semasa,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan haji masa kini tidak lagi tertumpu kepada aspek ibadah semata-mata, sebaliknya turut merangkumi isu kesihatan awam, penggunaan teknologi digital serta pengurusan jutaan jemaah secara serentak. Bagaimanapun, Malaysia bertuah kerana sudah mempunyai asas dan kerangka yang kukuh untuk mendepani cabaran berkenaan menerusi institusi agama, muzakarah serta pembabitan pakar daripada pelbagai bidang.
“Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kerangka yang baik.
“Kita ada muzakarah dan pakar-pakar berwibawa. Insya-Allah kita mampu mendepani perubahan dan realiti yang sentiasa berubah ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip Maqasid Syariah dan konsep al-taysir (memudahkan) perlu terus dijadikan asas utama dalam pengurusan haji moden bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta kebajikan jemaah.
Dalam perkembangan sama, Lembaga Tabung Haji akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan haji Malaysia kekal tersusun, efisien dan relevan dengan keperluan semasa.
Perkara tersebut dikongsikan beliau semasa menghadiri Simposium Haji Perdana ke-50 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Simposium yang bertemakan “An active platform serving the guests of God… Half a century of knowledge enrichment” itu dihadiri lebih 500 menteri agama, ulama dan pemikir dari 60 negara bagi membincangkan fiqh isu asas agama Islam berkaitan haji, khususnya berhubung kemudahan untuk umatnya. - CHX


















































































































































































































































