Speaker Dewan Rakyat umum kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pandan, Setiawangsa

20 May, 2026

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Dr Johari Abdul mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Ahli Parlimennya berkuat kuasa 18 Mei lalu.

Johari berkata, kekosongan itu berlaku selepas beliau menerima notis daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Dewan Rakyat.

Katanya, susulan itu, beliau sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.

"Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi (bekas Naib Presiden PKR) mengumumkan keluar parti serta mengambil alih BERSAMA yang ditubuhkan pada 2016, seterusnya mengosongkan kerusi yang disandang masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata parti itu menggugurkan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi mengikut Fasal 9 (1)(c) dalam Perlembagaan parti selepas menerima hasrat keluar parti daripada mereka.

You May Also Like...