Kementerian luar tuntut Israel lepaskan aktivis Malaysia

19 May, 2026

SHAH ALAM: Kementerian Luar mendesak rejim zionis Israel supaya segera membebaskan kesemua 25 rakyat Malaysia yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotila 2.0 (GSF 2.0).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan penahanan tersebut jelas bertentangan dengan hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa memandangkan sebahagian daripada mereka ditahan di luar perairan Cyprus, bukan di perairan Israel.

“Kita mendesak agar rejim zionis Israel memberikan layanan sempurna kepada mereka dan membebaskan segera kerana ini bertentangan dengan hak asasi serta undang-undang antarabangsa. Mereka tidak menceroboh perairan Israel, tetapi dipintas jauh di luar,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara TUDM Subang selepas tiba dari lawatan kerja ringkas ke Myanmar.

Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye dan Menteri Luar, Hakan Fidan, atas bantuan membawa pulang 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan.

Beliau menjelaskan lima lagi rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Greece selepas kapal mereka karam, namun kesemua telah dibebaskan oleh mahkamah dan kini kembali ke Istanbul.

Sementara itu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby, mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang berada di 15 kapal flotila antara yang ditahan selepas puluhan kapal bantuan kemanusiaan dipintas tentera laut Israel ketika menuju ke Gaza.

Menurut beliau, sebanyak 40 kapal flotila melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan telah dipintas setakat jam 3 petang tadi. - CHX

You May Also Like...