SEREMBAN: Pemuda UMNO Negeri Sembilan melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 3 Mei, yang didakwa membentuk persepsi negatif terhadap UMNO negeri itu.
Ketuanya, Mohamad Fadil Md Zin, berkata kenyataan oleh Datuk Seri Megat Shahriman bersifat emosional, bermotif politik dan cuba menggambarkan UMNO sebagai “menderhaka”, walaupun tiada pengesahan rasmi daripada pihak Istana.
Beliau mempersoalkan kapasiti sekretariat tersebut bercakap seolah-olah mewakili Istana, terutama apabila nama DYMM Tuanku digunakan dalam naratif politik yang menyerang pihak lain.
“Sehingga hari ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Istana yang menyatakan UMNO Negeri Sembilan melakukan penderhakaan seperti didakwa. Persoalannya, atas kapasiti apakah Sekretariat ini bercakap seolah-olah menjadi jurucakap rasmi kepada DYMM Tuanku.
“Lebih membimbangkan apabila nama DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan digunakan secara berterusan dalam sebuah gerakan yang jelas membawa nada politik kepartian, menyerang parti politik tertentu serta menyeru rakyat menghukum lawan politik di peti undi.
“Institusi Diraja mesti dihormati dan dipertahankan daripada sebarang cubaan eksploitasi politik. Kesetiaan kepada Raja tidak boleh dimonopoli oleh manamana kelompok, apatah lagi dijadikan alat untuk melabel pihak lain sebagai ‘penderhaka’ hanya kerana berbeza pandangan politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Pemuda UMNO turut menegaskan bahawa institusi Raja tidak wajar diperalat untuk kepentingan politik, serta menolak usaha melabel pihak berbeza pandangan sebagai penderhaka.
Selain itu, mereka menyifatkan isu sebenar berkaitan pentadbiran negeri belum dijawab, sebaliknya perhatian dialihkan melalui sentimen emosi.
Mohamad Fadil juga menuntut penjelasan mengenai status, pembiayaan dan mandat sekretariat tersebut, sambil menegaskan komitmen Pemuda UMNO untuk mempertahankan institusi Raja secara berhemah, berfakta dan tanpa politik melampau.
Beliau menegaskan, mempertahankan Institusi Diraja tidak bermaksud membenarkan mana-mana pihak mempergunakan nama DYMM Tuanku demi kepentingan politik tertentu.
“Pemuda UMNO Negeri Sembilan akan terus mempertahankan Raja Berperlembagaan, Institusi Adat dan keharmonian negeri secara matang, bertanggungjawab serta berlandaskan fakta, bukannya dengan budaya tuduh-menuduh dan melabel pihak lain sebagai penderhaka.
“Institusi Raja wajib dijunjung tinggi dan pada masa sama mesti dipelihara daripada diperalatkan oleh mana-mana pihak berkepentingan politik,” tegasnya - CHX


















































































































































































































































