PN terbuka kerjasama dengan mana-mana parti hadapi PRU akan datang

17 May, 2026

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan kesediaan untuk meneroka kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti politik menjelang pilihan raya umum akan datang, selaras dengan pendekatan gabungan yang realistik dan inklusif.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keterbukaan itu turut melibatkan pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan sama, termasuk sebagai rakan strategik tanpa perlu menyertai gabungan secara rasmi.

“Pendekatan ini lebih sesuai dengan realiti landskap politik semasa serta mampu memperkukuh kerjasama konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi memperhalusi bentuk kerjasama tersebut, termasuk terma dan syarat yang berkaitan.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin memaklumkan keputusan terdahulu menerima MIC sebagai parti anggota PN adalah terbatal.

“PN mendapati MIC masih belum memberikan keputusan muktamad berhubung penyertaannya, selain menafikan pernah mengemukakan permohonan rasmi,” katanya.- CHX

You May Also Like...