PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kedua-dua mereka turut mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing, iaitu Pandan dan Setiawangsa, berkuat kuasa esok.
Rafizi berkata, beliau akan mengemukakan surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan keputusan tersebut.
“Saya Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan, dengan ini mengumumkan bahawa saya akan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan berkuat kuasa esok.
“Saya akan menulis secara rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat esok untuk memaklumkan keputusan saya meletakkan jawatan,” katanya.
Pengumuman sama turut dibuat oleh Nik Nazmi berhubung kerusi Parlimen Setiawangsa.
Dalam masa yang sama, kedua-dua bekas menteri itu mengesahkan mereka akan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) berkuat kuasa Selasa ini.
Rafizi berkata, beliau juga akan membuat pemakluman rasmi kepada Setiausaha Agung PKR mengenai perkara tersebut.
“Saya akan menulis secara rasmi kepada Setiausaha Agung PKR pada Selasa ini bagi memaklumkan keputusan ini,” katanya.
Menurut beliau, fokus utama selepas ini adalah untuk membina dan melatih barisan kepimpinan muda dalam parti BERSAMA.
“Kami bukanlah yang terbaik. Kami mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan.
Namun, kami diberi amanah untuk membawa obor idealisme ini selagi masih mempunyai kekuatan, agar suatu hari nanti ia dapat diwariskan kepada generasi pimpinan muda, khususnya dalam kalangan milenial dan Gen Z,” katanya. - CHX


















































































































































































































































