Belia perlu perkasa diri hadapi cabaran masa depan – Nurul Izzah

16 May, 2026

SEREMBAN: Golongan belia diseru agar memperkukuh jati diri, mempertahankan maruah serta bersedia menyesuaikan diri dengan pelbagai cabaran masa depan, termasuk perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan tekanan media sosial.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakya (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, generasi muda perlu mempunyai keupayaan beradaptasi dengan perubahan semasa kerana dunia kini berdepan situasi yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Menurutnya, perancangan pembangunan hari ini mesti bersifat tahan cabaran dan berorientasikan masa depan, khususnya dalam menghadapi ancaman perubahan iklim.

“Perubahan iklim mungkin dilihat sebagai isu kecil, namun apabila bencana seperti banjir berlaku, ia boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2026 di Sendayan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat tidak lagi boleh memandang remeh isu perubahan iklim kerana kesannya memberi impak besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Nurul Izzah berkata, keupayaan menyesuaikan diri bermula daripada cara seseorang mengurus kehidupan serta memahami keperluan sebenar diri.

“Segala-galanya bermula daripada skala kecil. Jika kita mampu mengemudi kehidupan sendiri, Insya-Allah kita juga mampu meraih peluang pekerjaan lebih baik, memperjuangkan hak, malah memimpin organisasi dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden KEADILAN menekankan bahawa individu perlu mengenal pasti keperluan sebenar dalam hidup dan tidak mudah terpesona dengan status atau kuasa pihak lain.

“Kadangkala kita terlalu terpukau apabila berdepan syarikat multinasional atau pihak luar, sehingga merasakan diri sudah berjaya hanya kerana mendapat tawaran daripada organisasi besar,” katanya.

Tambahnya, budaya mengejar pengiktirafan luar serta obsesi terhadap imej di media sosial turut menyumbang kepada peningkatan sikap narsisistik dalam masyarakat.

Menurut beliau, ramai anak muda menilai harga diri berdasarkan jumlah pengikut, tanda suka dan penerimaan di alam maya, berbanding nilai sebenar diri mereka.

Beliau turut mengaitkan fenomena itu dengan situasi geopolitik global, khususnya pergantungan sesetengah negara kepada kuasa besar.

“Kita dapat melihat perkara ini di beberapa negara GCC apabila pangkalan tentera Amerika Syarikat ditempatkan di negara mereka dan digunakan untuk menyerang pihak lain.

“Mereka dijanjikan perlindungan, tetapi persoalannya, adakah janji itu benar-benar ditepati? Hakikatnya tidak,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa maruah sesebuah negara tidak seharusnya dikompromi demi mendapatkan jaminan keselamatan daripada pihak luar.

“Keupayaan mempertahankan diri bergantung kepada sejauh mana kita menghargai maruah sendiri, bukannya menjual keselamatan demi sesuatu yang akhirnya tidak pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah turut mengingatkan golongan muda agar lebih berhati-hati terhadap pengaruh media sosial dan tekanan algoritma digital yang boleh membentuk emosi serta pemikiran.

“Seperti ditunjukkan dalam dokumentari The Social Dilemma, jika hanya segelintir mengecam kita mungkin masih mampu ditangani. Namun apabila ribuan serangan berlaku, tekanan itu menjadi luar biasa,” katanya.

Beliau turut memuji keberanian anak muda yang semakin lantang membincangkan isu semasa dan berharap mereka terus memainkan peranan dalam membentuk naratif masa depan negara.

“Saya belajar banyak daripada keberanian dan keupayaan anak muda menyuarakan pandangan. Teruskan usaha ini dan pastikan anda sendiri yang mencorakkan masa depan negara,” katanya.- CHX

You May Also Like...