Penyertaan Malaysia dalam BRICS kukuhkan kedudukan, perkasa multilateralisme

16 May, 2026

NEW DELHI: Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS mengukuhkan kedudukan negara dalam blok itu.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia sekali gus memperluas peranan Malaysia dalam memperjuangkan multilateralisme serta kepentingan negara membangun di pentas global.

Katanya, mesyuarat memberi penekanan kepada kepentingan mengekalkan hubungan pelbagai hala ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.

“ Malaysia konsisten mendukung multilateralisme sebagai asas hubungan antarabangsa,” katanya selepas majlis bersama petugas Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Malaysia juga menegaskan kepentingan memperkasakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengurus cabaran global.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh krisis Asia Barat, termasuk ketegangan di Selat Hormuz yang menjejaskan ekonomi global dan rantau ASEAN.

“Malaysia mahu krisis ini diselesaikan segera,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Iran, Rusia, India, Mesir, UAE, Cuba dan Thailand bagi memperkukuh kerjasama ekonomi serta meningkatkan perdagangan intra-BRICS.

India dilihat sebagai rakan penting dalam perdagangan, farmaseutikal dan pelancongan, manakala Mesir disasar sebagai pintu masuk ke pasaran Afrika Utara.

Mengenai Selat Hormuz, beliau berkata Iran memberi jaminan laluan kapal Malaysia kekal selamat, namun kesesakan lebih 2,000 kapal menyebabkan kelewatan.

Lawatan kerja beliau sempena mesyuarat pada 14-15 Mei itu melibatkan empat program utama, termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi dan tujuh sesi dua hala.

Mesyuarat ini menjadi persiapan awal menjelang Sidang Kemuncak BRICS pada 12-13 September 2026.

You May Also Like...