Ekonomi umat Islam bermula dengan membela rakyat, bukan memperkaya segelintir pihak – PM

15 May, 2026

SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan ekonomi umat Islam di negara ini perlu bermula dengan menjaga maslahah masyarakat awam yang memerlukan bantuan, dan bukannya untuk memperkayakan segelintir manusia.

Sambil mempertahankan kekuatan institusi zakat sebagai instrumen pemerkasaan ekonomi, beliau mengingatkan agar sejarah silam yang memiskinkan rakyat tidak diulangi.

"Zakat adalah untuk ekonomi, yang tahu sebagai kekuatan ekonomi, dan kekuatan ekonomi umat itu bermula dengan maslahah menjaga masyarakat awam, bukan untuk memperkayakan segelintir manusia.

"Dalam sejarah umat manusia ini, jangan pernah memiskinkan rakyat, menjaga rakyat sendiri, membela rakyat sendiri," katanya ketika berucap di Masjid Sri Sendayan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Solat Jumaat bersama Perdana Menteri dan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Pembangunan Syiar Islam bagi Negeri Sembilan 2026.

Pada majlis itu, Anwar menyerahkan cek peruntukan keseluruhan berjumlah RM47,743,200 bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam di negeri tersebut.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sebanyak RM42,327,100 daripada jumlah itu diperuntukkan bagi bayaran imbuhan dan elaun imam, bilal, siak, guru takmir serta Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Peruntukan itu turut merangkumi sumbangan khas secara sekali bayar (one-off) sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap jasa serta pengorbanan murabbi ummah dalam memperkukuh pendidikan Islam di peringkat akar umbi.

Sementara itu, baki sebanyak RM5,416,100 diperuntukkan sebagai bantuan khas kerajaan Persekutuan bagi pembiayaan projek penyelenggaraan dan naik taraf (SNT) Institusi Pendidikan Islam di Negeri Sembilan.

"Peruntukan Khas SNT disediakan bagi membantu meningkatkan tahap prasarana institusi agama termasuk institusi pondok dan Maahad Tahfiz yang memerlukan penambahbaikan serta penyelenggaraan," menurut kenyataan itu.

Inisiatif terbabit akan memberi manfaat kepada 57 institusi agama di negeri ini membabitkan 18 Maahad Tahfiz, 11 sekolah agama, dua institusi pondok dan 26 premis Kelas al-Quran dan KAFA yang beroperasi di premis bukan milik kerajaan.

Selepas majlis tersebut, Perdana Menteri turut meluangkan masa menikmati jamuan tengah hari di Restoran Ombong Salai di sini, sebelum bergerak pulang. - CHX

You May Also Like...