KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan pelantikan Ketua Pembangkang yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula pada Jun depan.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatan tersebut akan diisi oleh pemimpin daripada PAS, namun identiti individu berkenaan hanya akan didedahkan apabila tiba masanya.
Beliau menjelaskan bahawa setakat ini tiada keperluan mendesak untuk mengumumkan pengganti tersebut memandangkan Dewan Rakyat masih belum memulakan persidangan.
"Insya-Allah menjelang sidang itu nanti, kita akan menamakan Ketua Pembangkang dan tiada isu kalau kita namakan sekarang kerana Dewan Rakyat tidak berjalan (bermula).
“Sabtu ini, kita akan mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Ada beberapa perkara yang akan diputuskan pada mesyuarat itu nanti, cuma kita belum maklum siapa yang akan mengisi jawatan berkenaan," katanya kepada pemberita di perkarangan Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tuan Ibrahim, yang juga Timbalan Presiden PAS, turut mengesahkan bahawa PN telah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bagi memaklumkan mengenai pengosongan jawatan tersebut.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu permohonan maaf Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataan kontroversi melibatkan sahabat Nabi Muhammad SAW baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata pihaknya menerima baik permohonan maaf tersebut.
"Buat masa ini, itulah yang terbaik. Kalau kita buat salah, kita mengaku dan tarik balik kenyataan itu," katanya.
Ahad lalu, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan memohon maaf secara terbuka selepas kenyataannya dalam sebuah ceramah politik di Kuala Terengganu mengundang kritikan pelbagai pihak. - CHX


















































































































































































































































