‘Kalau biasa, saya buat di Tiktok saja’- Rafizi janji pengumuman ‘luar biasa’ Ahad ini

14 May, 2026

PUTRAJAYA: Teka-teki mengenai masa depan politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bakal terjawab Ahad ini menerusi satu pengumuman yang disifatkan sebagai 'luar biasa'.

Bercakap kepada media selepas selesai memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan bahawa skala majlis yang dirancang membuktikan pengumuman tersebut mempunyai impak besar.

"Kalau setakat pengumuman biasa, saya buat di TikTok sajalah. Jadi, kalau saya dengan Nik membuat keputusan untuk mengadakan pengumuman secara terbuka dan menjemput orang ramai datang, maksudnya ia bukan pengumuman politik biasa-biasa… ia agak luar biasa,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu bagaimanapun kekal mengunci mulut mengenai butiran terperinci hala tuju baharu mereka, termasuk spekulasi sama ada mereka akan menyertai gabungan politik lain atau kekal bersama parti sedia ada.

Terdahulu, kehadiran Rafizi di SPRM adalah bagi menyerahkan 28 item dokumen bukti berhubung siasatan pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dalam syarikat semikonduktor, Arm Holdings plc (ARM).

Beliau yang ditemani barisan peguam meluangkan masa kira-kira dua jam untuk memberi keterangan lanjut mengenai kes berkenaan.

Menyentuh mengenai pelbagai teori yang timbul, bekas Menteri Ekonomi itu menyifatkan spekulasi tersebut sebagai satu 'kelebihan' dalam politik.

"Ia bagi memastikan orang ramai terus meneka dan membuat spekulasi. Masih ada dua hari lagi untuk berteka-teki,” katanya. - CHX

You May Also Like...