MARAN: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal menaik taraf Klinik Kesihatan (KK) Maran daripada Jenis 4 kepada Jenis 3, yang akan dilengkapi dengan perkhidmatan kecemasan 24 jam bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, selain operasi 24 jam, klinik tersebut akan turut dilengkapi dengan enam katil di Ruang Pemerhatian serta penambahbaikan perkhidmatan Pusat Bersalin Kecemasan (EBC).
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh peranan KK Maran sebagai tunjang sistem penjagaan kesihatan primer yang lebih efektif di daerah berkenaan.
"Ketiga-tiga perkhidmatan ini akan diperkasakan secara menyeluruh supaya dapat berfungsi dengan lebih efektif.
“Walaupun statusnya bukan hospital, namun peranannya adalah setara dari segi fungsi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk di Maran," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja ke klinik berkenaan, di sini semalam.
Mengulas mengenai cadangan projek pembinaan Hospital Maran yang dianggarkan bernilai RM350 juta, Dr Dzulkefly memaklumkan projek tersebut tidak akan diteruskan buat masa ini selepas penilaian semula dibuat terhadap penggunaan fasiliti sedia ada.
Beliau menjelaskan bahawa kadar penggunaan katil (BOR) di hospital berdekatan masih berada pada tahap yang stabil dan mencukupi untuk menampung permintaan semasa.
"Maran sudah mempunyai Hospital Jengka yang merekodkan kadar penggunaan katil sekitar 57 peratus, manakala Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh pula mencatatkan BOR 63 peratus," tambah beliau.
Penaiktarafan KK Maran ini dilihat sebagai alternatif strategik kerajaan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan pantas tanpa memerlukan peruntukan besar bagi pembinaan hospital baharu pada waktu ini. - CHX


















































































































































































































































