KUALA LUMPUR: Masih ramai yang berharap semangat Muafakat Nasional (MN) dapat diteruskan tanpa diganggu kepentingan politik tertentu.
Perkara itu disuarakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga bekas pemimpin Umno.
Beliau mengimbau suasana penuh emosi pada 2019 ketika Umno dan PAS menandatangani Piagam MN—detik yang disifatkannya sebagai simbol kesyukuran dan harapan apabila dua parti Melayu terbesar kembali bekerjasama demi penyatuan ummah.
“Pada pandangan saya, rakyat masih mengharapkan semangat MN diteruskan tanpa halangan kepentingan politik. Saya juga masih teringat suasana penuh emosi pada 2019 ketika Piagam Muafakat Nasional dimeterai.
“Tangisan pemimpin dan ahli kedua-dua parti ketika itu membawa makna mendalam, melambangkan kesyukuran dan harapan apabila Umno dan PAS kembali berganding bahu demi penyatuan ummah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Shahidan turut merujuk pandangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mencadangkan agar semangat muzakarah dihidupkan semula sebagai jalan penyelesaian kepada isu perpaduan antara PAS dan Umno.
Menurutnya, cadangan tersebut termasuk melantik pihak ketiga dalam kalangan mufti dan ilmuwan Islam sebagai perantara bagi merapatkan perbezaan pandangan, berlandaskan al-Quran dan sunnah.
“Insya-Allah, suatu hari nanti kita mampu kembali duduk semeja demi masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan bahawa sebarang kerjasama semula dengan PAS hanya akan dipertimbangkan sekiranya parti itu menghapuskan ‘DNA khianat’, merujuk kepada kegagalan MN selepas PAS memilih untuk bersama Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN).
Pada masa sama, Shahidan turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-80 kepada Umno sambil mengenang perjalanan panjangnya bersama parti itu di bawah kepimpinan empat presiden terdahulu—Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata setiap era kepimpinan mempunyai cabaran dan sumbangan tersendiri yang banyak membentuk perjalanan hidup serta pemikirannya hingga kini.
Shahidan yang kini bersama PAS turut menyatakan rasa bangga menjadi ahli parti itu, kerana perjuangannya yang berteraskan nilai Islam serta usaha mempertahankan kesucian agama, kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Beliau turut menegaskan kepentingan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera serta mengelakkan perpecahan.
“Saya menulis ini kerana tidak pernah melupakan jasa dan kenangan bersama Umno. Ramai sahabat dalam parti itu yang masih saya hormati dan kekal berkawan hingga hari ini.
“Perbezaan parti tidak seharusnya memutuskan silaturahim sesama kita sebagai anak bangsa dan rakyat Malaysia,” katanya. - CHX


















































































































































































































































