Dialog Khas PDRM 2026: Integrasi teknologi, kepakaran akademik mantapkan siasatan jenayah

12 May, 2026

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memperkukuh keupayaan forensik melalui kolaborasi lebih erat dengan universiti tempatan sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan siasatan dan mendepani jenayah yang semakin kompleks.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kepolisan moden perlu berkembang seiring dengan integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi menangani ancaman semasa termasuk jenayah siber dan sindiket rentas sempadan.

"Justeru, paradigma kepolisan moden harus segera berganjak ke arah integrasi teknologi dan perkongsian maklumat yang lebih holistik bagi memastikan kita sentiasa selangkah di hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PDRM Special Dialogue 2026 di sini pada Selasa.

Menurut Shamsul, tema program ini iaitu 'Synergized Policing: Securing the Future Together' amat signifikan dan bertepatan dengan cabaran keselamatan masa kini yang semakin rencam.

Sebanyak 31 sesi melibatkan forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan sepanjang dua hari program tersebut bagi mengetengahkan solusi terhadap isu keselamatan maritim, narkotik dan inovasi penguatkuasaan.

Tambah beliau, program berkenaan turut menghimpunkan lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan serta penyertaan 135 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Pada majlis sama, PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) turut memeterai pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang Sains Forensik.

Menurut Shamsul Anuar, kerjasama akademik dan industri itu merupakan pelaburan jangka panjang dalam meningkatkan kompetensi teknikal.

“Kementerian Dalam Negeri pula akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi melalui dasar progresif dan pemodenan aset teknologi bagi memastikan PDRM kekal tangkas, responsif dan sentiasa bersedia mendepani ancaman keselamatan,” katanya.

You May Also Like...