Tokoh kewangan Islam Daud Bakar, pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan pecah amanah RM10.55 Juta

11 May, 2026

KUALA LUMPUR: Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan rakan kongsi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan sebuah koperasi, sejak tiga tahun lepas.

Mohd Daud, 62 dan Datuk Norliza Tajudin, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, kedua-dua tertuduh sebagai ejen iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd (kini Energy Eco Berhad), telah diamanahkan dengan wang berjumlah RM10.55 juta yang merupakan pelaburan daripada Moideen Bin Kunjayu, Dato’ Dr. Mashitah binti Ibrahim, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd.

Mereka didakwa secara tidak jujur telah menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata iaitu Shareholder’s Advance Agreement yang menetapkan bahawa dana tersebut hanya boleh digunakan secara khusus bagi pembiayaan operasi, pembinaan serta pengembangan kapasiti pengeluaran perniagaan pembuatan dan perdagangan sarung tangan syarikat yang mematuhi prinsip Syariah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad Cawangan Bangsar Shopping Centre antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 19 Jun 2026 untuk sebutan semula kes penyerahan dokumen. - CHX

You May Also Like...