KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan mahasiswa agar menjadi generasi baharu yang menolak politik perkauman sempit demi memastikan masa depan negara yang lebih harmoni dan stabil.
Beliau berkata, anak muda perlu tampil sebagai kekuatan penyatu yang mampu memperkukuh perpaduan nasional tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Menurutnya, mahasiswa mempunyai peranan penting dalam memacu perubahan positif melalui pendidikan, pemikiran matang dan wacana yang berteraskan nilai sejagat.
“Masa depan negara bergantung kepada kesediaan anak muda untuk menolak tembok perkauman sempit dalam politik picisan.
“Bangkitlah sebagai satu kekuatan baharu. Masalah negara ini adalah masalah kita bersama dan mesti diselesaikan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.
Anwar berkata, konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan kerajaan menekankan prinsip keadilan sosial serta kebajikan rakyat yang merentas sempadan kaum dan agama.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak terpengaruh dengan budaya kebencian dan sentimen melampau yang semakin berleluasa, khususnya di media sosial.
Menurutnya, dunia kini menyaksikan kebangkitan kumpulan ekstremis sayap kanan atau far right di beberapa negara maju termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, yang mengeksploitasi isu kaum dan agama sehingga mencetuskan perpecahan serta kebencian terhadap masyarakat lain.
“Pendidikan bukan sekadar untuk menimba ilmu, tetapi juga untuk menegakkan kebenaran dan keadilan melalui perbincangan yang rasional, bukan melalui kebencian dan fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa generasi muda mampu memahami dan menerima konsep Malaysia Madani, seterusnya terus mempertahankan hak serta kebajikan seluruh rakyat Malaysia.- CHX


















































































































































































































































