KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memuktamadkan mekanisme kesinambungan subsidi minyak yang melibatkan golongan berpendapatan tinggi termasuk kumpulan T15 dan T20 dalam masa terdekat susulan ketidaktentuan pasaran global akibat konflik berlarutan di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kertas cadangan berhubung pelan berkenaan telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Hassan Marican dan kini berada di peringkat akhir penelitian kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan beberapa siri perbincangan berkaitan pelaksanaan subsidi bersasar melibatkan kumpulan berkenaan sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Ada atas kertas beberapa bulan lalu oleh jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Hassan Marican.
“Kami sudah melalui dan mengadakan beberapa perbincangan berkaitan T20 atau T15. Kami sedang memuktamadkannya dan berharap dapat menyelesaikannya tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Mahasiswa India di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai pelan kesinambungan bekalan minyak negara yang dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini dengan mengambil kira perkembangan semasa pasaran tenaga global termasuk isu penutupan Selat Hormuz.
Menurutnya, kerajaan sedang meneliti langkah terbaik bagi memastikan kestabilan bekalan minyak serta mengurangkan kesan ketidaktentuan pasaran global terhadap rakyat dan ekonomi negara.- CHX





















































































































































































































































