‘Melayu tidak boleh terus menang sorak, kampung tergadai’- Zahid seru politik perlu kembali kepada akal, strategi

10 May, 2026

KUALA LUMPUR: Politik orang Melayu perlu segera kembali kepada tunjang akal, adab, dan strategi bagi memastikan kelangsungan kuasa menentukan masa depan bangsa, tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, budaya politik yang dibelenggu dendam dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan hanya akan mengecilkan kedudukan kaum itu di tanah air sendiri.

"Melayu tidak boleh terus menang sorak, kampung tergadai. Politik Melayu mesti kembali kepada tujuan asal iaitu menyatukan kekuatan, melindungi kepentingan bangsa, memelihara Islam, dan mempertahankan institusi negara.

"Politik bukan sekadar soal menang kuasa, sebaliknya amanah untuk menentukan masa depan bangsa," katanya ketika berucap pada Musyawarah Nasional - Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, memberi amaran bahawa perpecahan dan kegagalan mengawal sentimen hanya akan menyebabkan suara orang Melayu terus melemah dan dipandang sepi.

Beliau mahu Musyawarah Nasional menjadi medan menyusun penyelesaian konkrit, bukan sekadar platform mengulang keresahan sedia ada.

Menyentuh soal identiti, Ahmad Zahid melahirkan kebimbangan terhadap peminggiran bahasa Melayu dan nilai budaya dalam kalangan generasi muda akibat arus globalisasi yang tidak terkawal.

"Keresahan ini juga terlihat apabila isu bahasa, identiti, dan warisan negara sering mencetuskan kegelisahan, daripada polemik makanan warisan hingga kepada penganjuran festival yang tidak peka terhadap nilai setempat," katanya. - CHX

You May Also Like...