Alexander Nanta beri bayangan tidak pertahan parlimen Kapit

9 May, 2026

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membayangkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus membuka ruang kepada peralihan kepimpinan selepas hampir tiga dekad berkhidmat di peringkat Parlimen.

Alexander, yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), berkata beliau tidak menolak kemungkinan meneruskan karier politik di peringkat negeri sekiranya mendapat kepercayaan serta restu pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, tempoh hampir 30 tahun sebagai Ahli Parlimen Kapit memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya beliau mempertimbangkan tanggungjawab baharu, selain memberi laluan kepada generasi muda untuk menerajui parti di kawasan itu.

“Saya ingin beri ruang kepada orang muda. Saya sudah hampir 30 tahun di Parlimen dan sudah tentu ada perancangan seterusnya sekiranya diperlukan.

“Jika ada peluang dan direstui Yang Dipertua parti (Tan Sri Abang Johari Abang Openg), saya mungkin ingin menyambung khidmat di peringkat negeri,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Alexander menegaskan hala tuju politiknya bergantung sepenuhnya kepada keputusan kepimpinan tertinggi parti.

Beliau turut memberi bayangan kemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Kapit, susulan persempadanan semula kawasan, sekiranya diberi kepercayaan.

“Kebetulan terdapat kerusi DUN baharu di sana. Saya kekal komited untuk berkhidmat kepada rakyat di mana sahaja ditugaskan,” katanya.

Alexander, cucu kepada pemimpin ulung masyarakat Dayak Tun Temenggong Jugah Barieng, menjadi Ahli Parlimen Kapit sejak 1999 selama enam penggal, termasuk menang tanpa bertanding pada PRU-11 dan PRU-12.

Beliau menyertai Kabinet Persekutuan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2013, sebelum dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2021.

Sejak Disember 2022, beliau memegang jawatan Menteri Kerja Raya dan pernah memangku jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selama dua minggu pada Disember 2025. - CHX

You May Also Like...