Karipap IKEA bukan sekadar jajan, tapi fenomena nasional!

8 May, 2026

PETALING JAYA: Siapa sangka snek ringkas yang sering menjadi peneman selepas penat mencuci mata di gedung perabot mampu melakar sejarah besar. 

IKEA Malaysia baru-baru ini secara rasmi telah memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mencatatkan jualan luar biasa sebanyak 8.6 juta biji karipap dalam tempoh setahun sahaja. 

Pencapaian ini membuktikan bahawa karipap ikonik mereka bukan sekadar makanan sampingan, tetapi sudah menjadi identiti yang menyatukan selera rakyat Malaysia sejak tiga dekad lalu.

Bagi Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, kejayaan ini mempunyai makna yang lebih mendalam daripada sekadar statistik perniagaan.

“Karipap IKEA sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai pelanggan sama ada selepas membeli-belah atau ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan. Pengiktirafan ini menggambarkan bagaimana makanan mampu menyatukan masyarakat dan mencipta kenangan bersama,” katanya.

Menariknya, di sebalik tekanan ekonomi global dan kenaikan kos bahan mentah yang mencabar, harga karipap kegemaran ramai ini dilihat masih bertahan pada tahap yang sangat mampu milik. 

Sejak mula diperkenalkan 30 tahun lalu dengan harga RM1, harganya hanya meningkat sebanyak 40 sen sahaja sehingga ke hari ini. 

Menurut Malcolm, keputusan untuk tidak menaikkan harga secara agresif adalah satu bentuk komitmen syarikat terhadap kualiti dan kemampuan poket pengguna tempatan.

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh Pengurus Makanan IKEA Malaysia, Raymand Yeastman, yang melihat karipap tersebut sebagai jambatan kasih sayang antara generasi.

“Pencapaian ini membuktikan sesuatu yang ringkas mampu menjadi simbol kebersamaan dan kegemaran ramai,” katanya.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat setianya, IKEA Malaysia turut melancarkan kempen kreatif #IKEAripapYourWay serta mengagihkan 500 karipap percuma di empat cawangan mereka pada 8 Mei. 

Lebih membanggakan, cawangan di Cheras kini memegang gelaran sebagai restoran IKEA paling sibuk di dunia, manakala cawangan Damansara pula berada di tangga keempat global. Ini membuktikan bahawa sokongan rakyat Malaysia terhadap jenama ini, terutamanya kulinari mereka, sememangnya luar biasa. - CHX

You May Also Like...