CEBU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkukuh agenda strategik Malaysia di rantau ini melalui pertemuan dua hala bersama Singapura dan Laos bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48. Pertemuan tersebut memberi tumpuan khusus kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi dan kestabilan geopolitik.
Mengenai hubungan dengan Singapura, Anwar menegaskan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan tenaga hijau.
“Pertemuan bersama PM Lawrence Wong memfokuskan kepada mempercepatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta memastikan RTS Link beroperasi tepat pada waktunya menjelang hujung 2026," ujar beliau.
Tambahnya lagi, kerjasama kini diperluas ke arah Grid Tenaga ASEAN dan teknologi penyimpanan karbon, di samping menguruskan isu sempadan serta ruang udara secara berhemah.
Sementara itu, kerjasama dengan Laos diperkukuh melalui visi keterhubungan fizikal dan ekonomi yang lebih luas.
“Malaysia menyokong penuh integrasi logistik melalui jaringan rel ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia hingga ke China, selain memantapkan Projek Integrasi Kuasa (LTMS-PIP) antara Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura," jelas Anwar.
Komitmen ini turut merangkumi sektor strategik seperti pertahanan, telekomunikasi, dan pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa kestabilan rantaian bekalan global dan keamanan di Asia Barat adalah kritikal bagi masa depan serantau. "
“Dalam semangat Malaysia MADANI, pembangunan mampan dan perkongsian kemakmuran adalah kunci utama kepada masa depan ASEAN yang stabil," tegas beliau.
Pertemuan tersebut turut diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. - CHX


















































































































































































































































