Kerajaan persekutuan ambil alih Projek LRA Sungai Limau

8 May, 2026

BALING: Kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih pelaksanaan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau susulan kegagalan kontraktor asal menyiapkannya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendedahkan bahawa projek yang sepatutnya menjadi nadi bekalan air itu hanya mencapai kemajuan fizikal sekitar 15 hingga 20 peratus sebelum kontraknya terpaksa ditamatkan pada tahun lalu.

Keputusan intervensi ini diambil bagi memastikan kepentingan rakyat Kedah tidak terus terabai akibat kelewatan yang tidak munasabah.

Akmal Nasrullah menegaskan bahawa proses tender semula kini terpaksa dilakukan bagi memulihkan semula momentum kerja di tapak.

“Pihak saya amat dikesal apabila projek kritikal seperti bekalan air mengambil masa terlalu lama sehingga terpaksa melalui proses tender semula dan tindakan amaran kepada pihak berkaitan.

“Projek sebegini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana kesannya ditanggung oleh rakyat," ujar beliau semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut.

Kesan daripada kegagalan pelaksanaan ini, Kerajaan Persekutuan dijangka perlu menyuntik peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi menyelamatkan projek bernilai asal RM100 juta itu.

Akmal Nasrullah menjelaskan bahawa langkah turun padang ini adalah untuk memastikan segala isu pelaksanaan diselesaikan segera tanpa kompromi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan di LRA Bukit Selambau, Kuala Muda, beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut kini dikategorikan sebagai lewat daripada jadual asal.

Dengan kemajuan semasa hanya mencecah 51.28 peratus berbanding sasaran 58.02 peratus, satu surat amaran kemungkiran telah dikeluarkan secara rasmi kepada kontraktor untuk tindakan lanjut. - CHX

You May Also Like...